Anugerah Akademik Negara 2013

P E N G E N A L A N

Kesarjanaan ahli akademik dalam pelbagai bidang di Institut Pengajian Tinggi negara ini telah pun diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara pengiktirafan peringkat kebangsaan ialah: Anugerah Saintis Negara, Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Langkawi, Anugerah Sastera Negara, Anugerah Tokoh Maal Hijrah, Anugerah Harta Intelek Negara, Anugerah Seniman Negara, Anugerah Merdeka dan Anugerah Yayasan Sains Toray Malaysia bagi Sains dan Teknologi. Sementara di peringkat antarabangsa pula termasuklah: ISESCO Literacy Prize, UNESCO Carlos J. Finlay Prize for Microbiology, UNESCO Young Scientists Awards, King Faisal International Prize, Khawarizmi International Award, KEIO Medical Science Award dan Mahathir Science Award.

Ilmuan sarjana Malaysia telah mengharumkan nama negara melalui pelbagai pencapaian yang cemerlang dalam penyelidikan dan penerbitan yang berimpak tinggi, penghasilan karya asli yang bermutu, karya seni dan kreativiti terbaik, pengkomersialan produk penyelidikan dan pengajaran yang cemerlang. Justeru, mulai tahun 2006 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memperkenalkan sebuah anugerah tertinggi kesarjanaan yang dikenali sebagai Anugerah Akademik Negara (AAN) yang mengiktiraf secara menyeluruh kejayaan para sarjana Malaysia.

Konsep AAN ini, pada tahap awalnya, didasarkan kepada konsep Anugerah Sanggar Sanjung yang mula dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), pada tahun 2001. Anugerah ini diberikan kepada ahli akademik yang mempamerkan kejayaan yang cemerlang serta menerima pengiktirafan daripada badan kebangsaan dan antarabangsa.

Leave a Comment